Monday, October 16, 2006

Ini pula tugasan untuk pelajar NT

Hai para pelajar yang dikasihi. Cuti sekolah akhir tahun akan bermula dan sepanjang 8 minggu akan datang, saya telah siapkan tugasan yang menarik untuk kamu.

Tugasan ini diberi nama BERITA BERGAMBAR dan mudah dilakukan.

Baca dan teliti arahan-arahan ini.

1.Kamu perlu memberitahu kepada saya perasaan kamu dan aktiviti yang dilakukan pada cuti sekolah ini.
2.Kamu tidak perlu menulis tetapi melukiskan perasaan itu.
3.Kamu boleh gunakan gambar-gambar untuk memberitahu saya aktiviti yang kamu lakukan atau perasaan kamu.
4.Lukis atau tampalkan gambar-gambar kamu di atas kertas lukisan atau tulisan.

20% daripada markah yang kamu perolehi akan dicampurkan dalam ujian CA1 2007.

Jika ada pertanyaan e-mel kepada saya linamalaynium@yahoo.com atau MSN linamsom@hotmail.com

HANTARKAN TUGASAN KAMU MINGGU PERTAMA BUKA SEKOLAH 2007.

Selamat melaksanakan tugasan pelukis muda! :-)

Tugasan untuk menengah 1 NA pula

Hai para pelajar yang dikasihi. Cuti sekolah akhir tahun akan bermula dan sepanjang 8 minggu akan datang, saya telah siapkan tugasan yang menarik untuk kamu semua.

Tugasan ini dipanggil WARTAWAN MUDA kerana kamu akan berlagak seperti seorang wartawan untuk mencungkil informasi-informasi pekerjaan seseorang.

Objektif tugasan ini;
1.memberikan kesedaran jenis pekerjaan yang ada di sekeliling kita,
2.berasa bersyukur dengan adanya pekerja-pekerja ini,
3.memberi kamu pengalaman mewawancara.

Baca dan teliti arahan-arahan di bawah untuk memahami lebih lanjut tentang tugasan ini.
Pertama, kamu harus pilih salah satu perkerjaan yang ingin kamu wawancara;
1.pemandu teksi
2.pemandu bas
3.pemandu MRT
4.tukang jahit
5.tukang masak
6. jurujual
7.peniaga di pasar
8.penggali kubur
9.pekebun
10.pembersih
11.pekerja kilang
12.pelayan restoran
13.guru ngaji
14.penjual makanan

Kamu boleh pilih sesiapa sahaja daripada kaum keluarga kamu atau kenalan. Jika kamu ada kesukaran mencari seseorang yang mempunyai pekerjaan yang kamu pilih, jumpa saya.

Kedua, tanyakan soalan-soalan ini;
1.Nama penuh, usia dan berapa tahun sudah bekerja?
2.Mengapa memilih pekerjaan ini?
3.Apakah kepuasan yang didapatkan melalui pekerjaan ini?

Ketiga, semua informasi ini ditaip dalam Powerpoint (4-6 slaid sahaja). Jika kamu ada gambar orang yang diwawancara juga boleh diletakkan dalam slaid.

Jika boleh sertakan gambar orang yang kamu wawancara.
20% daripada markah yang kamu perolehi akan dicampurkan dalam ujian CA1 2007.

Jika ada pertanyaan e-mel kepada saya linamalaynium@yahoo.com atau MSN linamsom@hotmail.com

HANTARKAN TUGASAN KAMU MINGGU PERTAMA BUKA SEKOLAH 2007.
Selamat melaksanakan tugasan wartawan muda! :-)

Tugasan cuti sekolah untuk pelajar Express

Sekadar berkongsi dengan rakan guru, tugasan untuk mengisi masa lapang murid-murid kita;

Hai para pelajar yang budiman,
Cuti sekolah akan bermula dan untuk mengisi masa lapang kamu, saya berikan tugasan untuk cuti akhir tahun 2006. Sila baca arahan-arahan dengan teliti.

Kamu semua dikehendaki melakukan tugasan cuti sekolah secara individu. Tajuk tugasan kamu 'KENALI SINGAPURA DAHULU DAN SEKARANG'.

Objektif tugasan ini adalah untuk;
1. merapatkan jurang generasi; antara kamu dengan golongan tua,
2.memahami situasi pada zaman dahulu dan sekarang,
3.menimba pengalaman menjadi seorang wartawan muda.

Baca arahan di bawah ini dengan teliti;
Kamu perlu mewawancara (interview) seorang dewasa yang dilahirkan sebelum tahun 1960. Mereka boleh terdiri daripada kaum keluarga kamu seperti nenek, pak cik, ibu dan sebagainya.
Pastikan kamu mencatatkan nama penuh, usia, alamat dan pekerjaan orang yang diwawancara.
Kamu perlu memilih topik-topik yang diberikan dan mewawancara mereka dengan menggunakan soalan panduan yang disertakan.

Topik-topik
1. Pendidikan di Singapura
2. Pekerjaan orang Melayu
3. Remaja dahulu dan sekarang
4. Sistem sekolah dahulu dan sekarang
5. Tahap kebersihan di Singapura dahulu dan sekarang
6. Kandungan surat kahbar dahulu dan sekarang
7. Hiburan (filem) dahulu dan sekarang
8. Pusat makanan dahulu dan sekarang
9. Permainan dahulu dan sekarang
10. Suasana hari raya dahulu dan sekarang
11. Pusat beli-belah dahulu dan sekarang

Setiap pelajar harus pilih satu tajuk yang berlainan.

Tanyakan kepada mereka soalan-soalan berikut mengikut topik yang kamu pilih;
1. berikan 2 perbezaan yang terdapat pada zaman dahulu dan sekarang
2. mengapa perubahan berlaku?
3. manakah yang lebih baik, dahulu atau sekarang?

Kesemua informasi yang dapat kamu kumpulkan mesti ditaip dalam bentuk Powerpoint Slide (6-8 slide sahaja).
Jika boleh sertakan gambar orang yang kamu wawancara.

20% daripada markah yang kamu perolehi akan dicampurkan dalam ujian CA1 2007.
Jika ada pertanyaan e-mel kepada saya linamalaynium@yahoo.com atau MSN linamsom@hotmail.com

HANTARKAN TUGASAN KAMU MINGGU PERTAMA BUKA SEKOLAH 2007.

Selamat melaksanakan tugasan wartawan muda! :-)

Lama tidak dengar khabar...

Memang lama sudah aku tidak menulis dalam blog ini. Kesibukan dengan kerja sekolah telah membuat aku jarang-jarang menulis. Sedikit sebanyak perkembangan aku dan sekolah.

Selepas sahaja artikel aku mengenai isu kebiadapan murid, Berita Harian terima banyak respon daripada pembaca. Yang hangat apabila Cikgu Samad Aman menulis tentang kebiadapan pelajar sebenarnya berpunca daripada guru. Termasuklah peribahasa, guru kencing berdiri, murid kencing berlari menjadi kemarahan di kalangan teman-teman seperjuanganku. Aku hanya memerhatikan apa yang berlaku tanpa bertindak walaupun jari-jemari ini mula gatal hendak mengetapikan setiap andaian yang diberikan beliau.

Namun begitu, aku bersyukur kerana ramai pembaca yang mengetengahkan isu bukan salah guru jika pelajar biadap. Wah ramai juga penyokongku termasuk Cikgu Shafiee Berahim dan Nurliza Ali. Kalau tidak silap isu itu berlarutan sehinga 5 minggu dan setiap seminggu 2 kali isu ini diketengahkan dalam ruangan forum.

Tidak lama kemudian, cerpenku TEBUAN disiarkan pula di Berita Minggu tanpa bernama iaitu 1 Oktober. Tetapi ralat telah menjelaskan siapa penulis cerpen tersebut pada minggu berikutnya.

Aku tidak sangka telah mencetuskan lagi satu kontroversi di ruangan forum iaitu pandanganku terhadap kempen 'Lebih sexy katakan tidak'. Kesemua pertanyaan dan pandanganku berdasarkan perbincanganku dengan pelajar-pelajar menengah 2. Pertanyaan yang mencuit dan menggerakkan aku supaya menulis kepada pihak media; mengapa sexy tidak dieja seksi? bila boleh kita buat seks sebab dalam risalah tersebut mengatakan 'jangan melakukan seks di usia muda'. Tanpa penjelasan yang berlandaskan agama, pelajar-pelajarku mula menyeleweng dan bertanyakan soalan-soalan yang membuat aku terdiam.

Berbalik pada pandanganku terhadap risalah tersebut, pihak bertanggungjawab telah membalasnya tetapi jawapan yang diberikan agak mengecewakan. Alasan sexy lebih memberi impak kepada remaja daripada seksi. Tambahan tiada respon yang diberikan terhadap pandanganku mengenai frasa 'seks di usia muda'.Hai aku mengeluh ketika membaca respon tersebut. Untung ada juga yang menyokong pendapatku dan menyangkal jawapan yang diberikan. Alasan yang lebih kukuh jika risalah dan kempen menggunakan bahasa rojak alamatnya semakin dilemalah guru-guru bahasa Melayu di Singapura. Aku masih menantikan respon-respon selanjutnya.

Baiklah itu perkembangan diriku dengan duniaku... (bukan alam rumahtangga)

Perkembangan para pelajar lebih menarik. Pertama, memandangkan ini bulan Ramadan, ramai pelajar yang seperti ayam berak kapur. Lemah longlai dan tidak bermaya untuk belajar sedangkan peperiksaan akhir tahun sangat hampir. Tiga minggu selepas pulang dari cuti penggal 3, mereka perlu bersiap sedia menduduki peperiksaan pula.

Kisah kedua pula mengenai pelajar-pelajar yang didapati merokok. Sungguh mengecewakan aku. Nantilah aku sambung cerita ini di lain bahagian.

Saturday, September 16, 2006

Hadiah Berharga Untuk Seorang Guru; Hormat daripada pelajar-pelajarnya

Berikut kukongsi artikelku yang tersiar di Berita Harian 10 September;

Pasti terukir senyuman lebar pada wajah guru-guru kita apabila mendengar pakej-pakej menarik yang telah dikemukakan oleh Menteri Pendidikan, Encik Tharman Shanmugaratnam di sesi Ceramah Guru, Isnin lalu. Antaranya, rancangan membayar serta melatih guru dengan lebih baik termasuk pengenalan skim Cuti Peningkatan Profesional Tambahan. Skim Pembelajaran dan Peningkatan untuk para guru meningkatan diri turut diperkenalkan agar para guru tidak putus-putus belajar mengikut edaran zaman. Kesemuanya ini diberikan atas inisiatif pemerintah agar guru-guru terus dalam kerjaya perguruan ini.

Selain itu, Encik Tharman turut memberikan perangkaan dapatan suatu tinjauan mengenai kerjaya yang disanjung masyarakat. Kerjaya guru mendapat tempat teratas dalam tinjauan tersebut, mendahului kerjaya seorang doktor, penguam dan lainnya. Namun, apa yang menjadi persoalan kepada saya, benarkah kerjaya kita mendapat penghormatan sedemikian daripada anak didik kita?

Dewasa ini, tugas guru-guru di sekolah telah berubah dan bertambah. Perubahan yang ketara sekali ialah corak pendidikan serta cara pengajaran yang jauh berlainan jika dibandingkan sepuluh atau lima belas tahun lalu. Dahulu istilah ‘chalk and talk’ dipraktikkan oleh para guru yang kini kebanyakan sudah bersara. Apabila zaman teknologi maklumat mula-mula bertapak, penggunaan kaset, ‘slide projector’ serta ‘overhead projector’ digunakan sebagai bahan mengajar di sekolah-sekolah.

Kini, komputer merupakan teman setia para guru setiap kali masuk ke kelas. Khidmat internet yang kini disediakan dalam setiap kelas dimanfaatkan oleh para guru. Termasuklah bahan-bahan serta perisian-perisian komputer lain menjadi bekalan guru ketika menyampaikan pengajaran mereka. Pendek kata setiap guru zaman canggih ini mestilah celik IT.

Kerjaya guru sememangnya semakin meluas ruang lingkupnya. Guru bukan lagi setakat mengajar tetapi kini diberikan gelaran sebagai pemudah cara. Di samping itu menjadi kaunselor kepada pelajar-pelajar bermasalah yang lazimnya dihadapi oleh guru-guru sekolah menengah kerana pada usia remaja inilah, pelajar mengalami krisis identiti sehingga timbul masalah-masalah disiplin yang tidak terkawal.

Perubahan dari segi alat-alat bantu mengajar serta pengajaran bukan semata-mata kerana zaman atau isi kurikulum yang semakin mencabar minda tetapi disebabkan personaliti pelajar yang datangnya daripada latar belakang keluarga yang rencam. Jika pada masa dahulu, pelajar amat menghormati guru-guru mereka. Malahan ada sesetengah pelajar lebih takut dan taat dengan guru daripada ibu bapa mereka. Kini, senario sedemikian jarang-jarang berlaku.

Melalui pengalaman peribadi, pelajar-pelajar sekarang kurang menghormati guru khususnya pelajar-pelajar yang bermasalah tidak mengira jantina. Tanpa rasa bersalah mereka berani berbohong dan membuat janji yang tidak bertitik kepada guru. Pergaduhan antara pelajar dan guru juga sudah menjadi perkara biasa di dalam atau di luar bilik darjah sudah biasa didengar. Malahan, ada juga guru yang dijadikan bahan ejekkan pelajar dan yang paling tidak terkawal, kes pelajar-pelajar yang memukul guru mereka di luar sekolah.

Contoh mudah, belajar-belajar yang bercakap dan tidak menumpukan perhatian terhadap pelajaran yang dijalankan dalam kelas. Bagi mereka yang tidak mempunyai semangat belajar pula akan mengganggu teman-teman yang lain. Semuanya ini merupakan masalah disiplin di dalam kelas yang perlu ditangani guru sehingga ia boleh menjejas konsentrasi dan pengajaran dalam kelas.

Ada beberapa punca, kurangnya rasa hormat terhadap guru oleh pelajar-pelajar masa kini. Kini, pelajar-pelajar semakin berani bersuara hinggakan batas adab antara guru dengan pelajar tidak dihiraukannya. Pelajar tidak tahu mengawal emosi atau terbawa-bawa masalah di rumah dan sebagai cara melepaskan tekanan, mereka akan ‘membuat hal’ di sekolah.

Cadangan, agar isu pelajar yang tidak menghormati guru perlulah diberikan penekanan oleh pihak ibu bapa, sekolah dan Kementerian Pendidikan. Contohnya, ibu bapa turut memainkan peranan menasihati anak-anak mereka. Manakala pihak sekolah dan masyarakat menunjukkan sikap menghargai para tenaga pengajar kita.

Sebagai guru, tanda hormat daripada pelajar-pelajarnya merupakan tanda terima kasih yang paling membahagia bukan hadiah yang mahal-mahal pada Hari Guru. Adanya rasa hormat yang sedemikian, guru akan rasakan dirinya dihargai oleh pelajar-pelajarnya dan secara langsung menjadi pendorong kepada guru-guru untuk terus kekal dalam kerjaya ini.

Luahan perasaan mereka berada di kelasku...




Learning Festival SAS





Gambar-gambar semasa diadakan Learning Festival pada 26 Ogos sempena hari pembukaan St Andrew's Village (Menteri Pendidikan hadir sebagai tetamu terhormat)

Terima kasih kepada Azman yang telah menjadi jurucakap pada hari itu. Hehe... kasihan dia penat berdiri. Kepada pelajar-pelajar lain yang turut mengambil bahagian menyediakan bahan untuk dipamerkan pada hari tersebut. Terima kasih.

Panduan ulang kaji 1 & 2 express / normal akademik

PANDUAN INI PENTING

1. Baca kesemua peribahasa yang terdapat dalam buku teks A dan B.
* 5 soalan peribahasa akan diuji.

2. Baca dan cuba bina ayat perkataan atau frasa yang terdapat dalam petikan kefahaman buku
teks A dan B.
* 3/5 perkataan atau frasa akan diuji dalam pembinaan ayat.

3. Soalan imbuhan akan diuji dalam bentuk petikan.

4. Soalan kefahaman objektif dan subjektif amat penting kerana banyak markah diperuntukan
untuk bahagian ini. Maka itu, gunakanlah teknik-teknik yang telah saya ajarkan semasa
membaca dan menjawab soalan kefahaman.

5. Lain-lain soalan yang boleh diuji; kata hubung / penggantian frasa / prosedur kloz / kata
seerti / imbuhan / penjodoh bilangan / kata berlawan

PERINGATAN ; kalau belajar awak akan lulus, jika tidak.... awak tahu jawapannya.

SILA AMBIL PERHATIAN

Untuk pelajar-pelajar menengah 1 % 2 express dan normal akademik

Memandangkan peperiksaan semester dua hampir-hampir menjelang tolong perhatikan peruntukan markah untuk peperiksaan akan datang;

UJIAN LISAN 40%
KEFAHAMAN MENDENGAR 20%
KERTAS 1
(surat kiriman/ dialog & karangan) 70%
KERTAS 2 70%

JUMLAH KESELURUHAN 200% akan dikurangkan kepada 100%

Peringatan: JANGAN MAIN-MAIN HAH!

Sambutan Hari Guru; pengalaman pertama hehe...

Hmm... lama aku tidak ada kesempatan menulis 'blog'. Tetapi tidak mengapalah, aku masih mahu berkongsi pengalaman sambutan Hari Guru di SAS. Tidak seperti sekolah-sekolah kerajaan yang lain, SAS tidak mengadakan pertunjukan konsert atau sebagainya pada hari itu.

Pagi-pagi apabila tiba aku di sekolah, hujan lebat membasahi bumi. Dingin sekali. Aku dapat sebuah hadiah berada di dalam 'pigeon hole' (lubang merpati???). Hadiah daripada chaplin sekolahku.

Mengikut acara yang ditetapkan, semua pelajar dan guru akan berjalan beramai-ramai ke Taman Bishan. Perjalanan lebih kurang 3kilometer. Tetapi akibat hujan yang tidak henti-henti acara tersebut dibatalkan. Kasihan pelajar-pelajar terpaksa berkurung di dalam 'homeroom' mereka dan menahan kelaparan kerana gerai-gerai di kantin tutup.

Guru-guru pula terperap dalam bilik guru, menyemak buku. membaca, melungsuri internet dan macam-macam lagi. Kedengaran ucapan 'Happy Teachers' Day' di mana-mana. Pelajar-pelajarku juga ramai yang mengucapkan Selamat Hari Guru. Jonathan memberiku sekuntum bunga yang diselitkan dengan sebatang pena merah. Hykal Hassan juga sempat memberiku hadiah sebagai tanda terima kasihnya. Adam mengucapkan Selamat Hari Guru lewat e-mel.

Jam 11.30 pagi, guru-guru dijamu makanan vegetarian (P, VP dan HOD belanja). Selepas makan, pulang. Itu sahaja acara Hari Guru 2006 di SAS. Apa yang menggembirakanku bukan sambutannya tetapi cuti penggal yang mendatanglah membuat aku ceria seharian hehe...

SELAMAT HARI GURU!!! (untuk sesiapa yang digelar pendidik)

Friday, August 18, 2006

Aktiviti Minggu Ke-8

Isnin 14 Ogos - Aku mengajar seperti biasa 3NT, membuat latihan kefahaman mendengar. Pelajar-pelajar 1NA membuat dialog berpandukan komik. Pelajar-pelajar 2NT dan 1NT membuat latihan buku kerja seperti yang telah dijadualkan.

Selasa 15 Ogos - Aku mulakan topik baru untuk pelajar-pelajar 2Exp 'Tak kenal maka tak cinta' seperti biasa mereka kecoh dengan gelak ketawa mereka yang tidak bertempat... haizzzz. Sepanjang minggu ini pelajar-pelajar 1Exp membuat karangan biografi berpandu. Mereka dikehendaki memilih salah satu bintang yang mereka minati dan membuat lakaran berdasarkan peta minda yang telah kusiapkan. Selanjutnya, karangan akan dibuat di makmal komputer.

Petang itu, pasukan hoki C divisyen berlawan dengan RI untuk tempat pertama dan kedua. SAS muncul sebagai naib juara. Hampir kesemua pelajar menengah bawah berserta guru-guru memberikan sokongan mereka pada petang itu di stadium hoki Delta. Aku juga tidak ketinggalan, sempat menyaksikan selama 30 minit sahaja.

Rabu 16 Ogos - Aku tidak hadir (MC) disengat tabuan yang 'tersesat' masuk ke bilikku. Hendak tahu cerita lebih lanjut, silalah tanya. Apa yang berlaku di sekolah? Aku tidak tahu.

Khamis 17 Ogos - Kembali ke sekolah dengan tangan yang masih terasa sengal-sengal. Pelajar-pelajar 1Exp menaipkan karangan biografi di makmal komputer. Setiap seorang diberikan karangan berpandu. Alhamdullillah, ramai yang dapat selesaikan dan hasilnya hmm... masih dalam semakan. Turut membantuku, Cikgu Hamzah Ali (kawan abahku).

Bagi pelajar 2NA, latihan bina ayat. 2Exp masih lagi membincangkan tentang binatang terpupus. Pada akhir waktu pengajaran, mereka dapat memberi idea-idea bernas berdasarkan soalan 'Usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengekang penzaliman binatang-binatang terpupus' (Wah... soalan sungguh mencabar minda!) Syabas kepada pelajar-pelajarku, mereka sememangnya berdaya fikir tetapi mesti pandai menggunakan kepandaian itu pada tempat yang sesuai...

2NT pula, kami mengadakan perbincangan mengenai sebuah artikel 'Sesal bertatu'. Ramai yang berminat mengetahui kisah disebalik pengalaman remaja-remaja tersebut. Namun, masih ada yang tidak memberikan perhatian semasa kelas dijalankan. Malahan, ada yang agak mengecewakanku berlaku... tidak usahlah aku utarakan di sini. Petang itu, latihan dikir barat berjalan seperti biasa walaupun jurulatih mereka tidak dapat hadir. Terima kasih kepada Shahir yang bijak mengatur 'budak-budak dikir'.

Jumaat 18 Ogos - Pagi aku sibuk mengendalikan MOE survey. Kelas 2NA ditiadakan. Sesungguhnya, pelajar-pelajar 3NT bijak melukis dan kreatif. Mereka melukis peribahasa di sehelai kertas mahjong. Akhirnya, aku dapat selesaikan merakam lagu-lagu ciptaan para pelajar 1NA. 4 buah lagu telah dihasilkan mereka dan cukup puas hati. Tahniah kepada semua walaupun setelah dimarahiku. Nyanyian mereka ini akan dijadikan sebagai kenang-kenangan hasil kreativiti mereka. Sesiapa yang mahukan salinan lagu mereka, sila bawa CD kosong untuk kubuat salinannya.

Hmm... nampaknya itu sahaja catatan minggu ini. Sebenarnya, banyak lagu yang ingin kukongsi dengan para pembaca. Salah satunya, rasa kecewa dengan beberapa pelajar yang tidak bertanggungjawab. "Borang EDUSAVE yang telah saya berikan 3 minggu lalu masih belum dapat dikumpulkan semuanya!!!"

Fuh... letih mulut aku membebel meminta kerja-kerja rumah dan fail-fail para pelajar. Markah-markah Common Test sudah aku putuskan. Bagi pelajar-pelajar yang inginkan penjelasan mengapa mereka mendapat markah yang menghampakan, JUMPA SAYA!

Thursday, August 10, 2006

Gambar-gambar lain





Antara gambar-gambar yang kupetik pada 8 Ogos.

Gambar yang pertama; rekaan yang memenangi tempat pertama dalam pertandingan budaya. Mereka perlu mencipta satu poster yang dapat menggambarkan gabungan tiga budaya; Cina, Melayu dan India. Seni kaligrafi melambangkan budaya Cina, bunga manggar melambangkan budaya Melayu dan lukisan lantai yang berwarna-warni menggambarkan budaya India.


Gambar yang kedua; Ashidiq (kanan) dan Taufik (kiri) dengan rekaan mereka.

Gambar yang ketiga; pelajar-pelajar yang mempelajari membuat bunga manggar.

Gambar keempat; antara pelajar menengah 1 yang seronok menyaksikan pertandingan tinju.

Sambutan Hari Kebangsaan Di St Andrew's Sec







8Ogos merupakan hari yang paling dinanti-nantikan para pelajar dan guru-guru di St Andrew. Hari 'istimewa' kerana tidak perlu belajar dan mengajar hehe... Sambutan hari kebangsaan di sekolah ini lain daripada sekolah-sekolah lain. Di St Andrew's Sec tidak ada persembahan tari-menari atau nyanyian seperti di sekolah-sekolah kerajaan lain.

Acara yang paling gah pada hari tersebut ialah 'Boxing'. Lain-lain acara seperti pertandingan polo air, hockey, bola keranjang dan lain-lain acara turut berlangsung pada masa yang sama. Di perpustakaan diadakan acara pertandingan catur dan budaya. Ada juga beberapa kuiz dijalankan di dewan kuliah dan pertandingan karaoke di dewan sekolah. Inilah beberapa gambar yang sempat aku petik pada hari tersebut.

3 orang pelajarku, Hazwan, Taufik dan Danny turut serta dalam pertandingan tinju. Pelajar-pelajar 1Exp; Farhan, Jack, Azman pula muncul juara dalam pertandingan budaya.

Thursday, August 03, 2006

Penat, letih, lelah, capek sih...

Hari ini aku seperti lupas kudung sehingga tiada masa berehat. Nasib baik aku sempat bersarapan dan makan tengah hari sekitar jam 10.30. Petang sementara menantikan budak-budak dikir barat, aku solat dan siapkan rancangan pengajaran untuk minggu hadapan.

Aktiviti minggu ini tidak banyak kerana ujian penggal 3 sedang berlangsung. 2 waktu setiap pagi, aku tidak ada kelas kerana ketika itu pelajar-pelajar ada ujian. Aku telah pun selesai menyemak kertas jawapan semua pelajarku. Hai... pening kepala aku melihat markah mereka satu persatu. Tetapi aku percaya mereka boleh mendapat markah yang lebih baik daripada ini jika mereka berusaha dan berubah sikap semasa di dalam kelas.

Antara tips-tips:

1. BERIKAN PERHATIAN SEMASA SAYA SEDANG MENGAJAR
2. JANGAN BANYAK BERBUAL
3. BERTANYA TENTANG PELAJARAN JIKA TIDAK FAHAM
4. JANGAN BERBUAL PERKARA-PERKARA YANG TIDAK BAIK
5. SELALU MEMBUAT LATIHAN DAN KERJA RUMAH YANG DIBERI
6. TURUT SERTA DALAM AKTIVITI KELAS
7. USAHA DAN BERDOA TERUS UNTUK KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT

Tindakan disiplin yang akan aku laksanakan dalam kelas:

1. Pertama, memberi amarah supaya pelajar tidak mengulangi perbuatannya.
2. Kedua, jika masih berdegil, pelajar akan berdiri di luar kelas.
3. Ketiga, pelajar akan dibawa ke 'time-out room' jika masih berdegil, untuk memikirkan
mengapa kamu bersikap demikian.

Pelajar-pelajar yang akan dikenakan tindakan ini; pelajar yang banyak berbual, pelajar yang tidak hormat dengan guru atau kawan-kawan, pelajar yang sering bertengkar, pelajar yang mengganggu orang lain semasa kelas dan banyak lagi yang kadang-kadang aku tidak perasan.

Baiklah itu sahaja, badanku terasa lenguh. Aku perlu rehat. Esok hari terakhir untuk minggu ini.

PERINGATAN LATIHAN DIKIR BARAT
TARIKH 11 Ogos 2006
Hari Jumaat
Jam 4-6pm

Tuesday, August 01, 2006

Hasil Kerja Pelajar-pelajarku





Inilah antara hasil kerja para pelajarku yang kreatif tetapi belum lagi inovatif. Kalau orang tanya, "Cikgu Lina ajar apa di kelas?" Jawablah, "Dia tidak ajar tetapi dia ajak kami bermain-main di kelas sahaja." Hasil daripada aktiviti permainan ini, para pelajarku belajar berfikir dan menghasilkan sesuatu yang baru daripada ciptaan yang sedia ada. Ewah, ewah... boleh tahan aku memuji, ibarat naik lif tekan sendiri hehe...

Riang ria bersama 1N3 & 1N4


Inilah muka-muka pelajarku yang 'baik' dan comel-comel. Kalau suruh buat kerja memanglah liat tetapi kalau disuruh melukis, merekalah yang ligat. Seronok mengajar mereka, tidak termasuk 'keseronokan' makan hati berulam jantung dengan mereka.

Nasihatku kepada mereka, jangan cepat putus asa dan teruslah berusaha untuk mencapai bintang-bintang di langit.

Memandangkan aku sudah pun menyemak kertas ujian berterusan mereka yang diadakan pada hari ini, 1 Ogos, terpaksalah mereka aku kerah seperti laskar-laskar St Andrew hehe...

Pantun Kelas 1N1 & 1N2

Kalau padi katakan padi
Tidak saya ternanti-nanti
Ibu bapa perlu dihormati
Agar hidup diberkati
(Ellya)
Pergi kedai membeli pelikat
Jangan lupa beli sikat
Kita manusia perlu muafakat
Agar hidup membawa berkat
Burung nuri ditembak mati
Ditembak oleh tuan sendiri
Hidup boleh beriri hati
Asal jangan membinasakan diri
(Hardieyan)
Pergi ke kedai membeli buku
Membeli buku dengan pena
Kalau tidak mengejar ilmu
Hidup kita ibarat sia-sia
(Hidayat)
Nampak gelang di atas meja
Tidak tahu siapa yang punya
Kalau tidak bekerjasama
Kerja menjadi sia-sia
(Haziq)
Kalau padi katakan padi
Tidaklah saya tertampi-tampi
Kita mesti baik hati
Agar sering ditemani
(Jay Hykal)

Friday, July 28, 2006

Latihan Dikir Barat-Satria Anak-anak Selatan



Baru-baru ini, MLDDS menganjurkan bengkel dikir barat untuk para pelajar SAS. Mereka menamakan kumpulan dikir mereka Satria Anak-anak Selatan (SAS-St Andrew's Sec) kalau salah faham sama akronim itu boleh jadi Satria Ana-anak Setan hehe (idea daripada Zulkifli juara kumpulan SAS)

Di sini, aku sertakan beberapa gambar semasa mereka berlatih 27.7.06 bersama 3 orang abang-abang dikir barat KERIS.